Sungai Paka dan Sejarah Perkembangan Penduduk

SPG 5:17 PG

Paka pada awalnya hanyalah sebuah pekan lama yang kecil, dengan jumlah penduduk cuma beberapa ribu orang. Kampung-kampung pula cuma terdapat tak sampai 100 keluarga. Saya masih ingat pada zaman kanak-kanak ,solat Jumaat di masjid-masjid kampung selain kuala Paka kena bilang orang dulu. Cukup tak 40 orang. Penduduk dan pembangunan Paka bertmbah secara mendadak bermula kira-kira tahun 1985 dengan pembukaan industri petroleum di sempadan Paka-Kerteh.

Seingat saya sekitar tahun 70an jalanraya begitu lengang, dalam 10 minit sekali baru ada kenderaan lalu. Kalau berbasikal (kenderaan utama masa itu) dari Air Hitam ke Paka kita cuma dapat melihat sedikit rumah-rumah di Kg. Nyiur, Wakaf Hijau (Pinang Merah), Tebing Tembah (selepas simpang SK Tebing Tembah ke jambatan Paka tiada rumah) dan di Kuala Paka (selepas area Pusat Niaga Paka ke Kerteh tiada rumah). Nama popular di Paka ketika itu Panggung Wayang Pok Man, Klinik Paka (Pusat Kesihatan) di Pantai Paka, Kedai Aduka di tapak balai polis Paka sekarang, Balai Polis Paka menghadap ke jalan raya, pasar, kedai Pok Gi, kedai Cina Kemaman, kedai Mokhtar bersebelahan pasar lama (Hj. Mokhtar Paka) dsb.




SUNGAI PAKA

Sungai Paka adalah sungai ke-2 terbesar dan terpanjang di daerah Dungun, selepas Sungai Dungun. Kalau Sungai Dungun bermula dari Banjaran Pantai Timur iaitu di Pasir Raja, Sungai Paka pula hulunya di Hulu Kongsi. Perkembangan penduduk Paka peringkat awal memang dipengaruhi oleh sungai, di mana penduduk membina petempatan di sepanjang sungai


Mungkin generasi muda kurang biasa dengan Hulu Kongsi. Mengikut informasi yang saya dapat daripada orang-orang lama di Paka, Hulu Kongsi terletak di Durian Mas sekarang. Dahulunya Hulu Kongsi dikenali sebagai tempat perlombongan bijih timah. Ia didiami oleh penduduk asal kebanyakan yang berpangkal nama 'Che Wan'. Kemudian didatangi oleh para pelombong pendatang Cina dan sebahagian orang Melayu dari sekitar Paka.



PENDUDUK AWAL

Kuala Paka pada mulanya didiami oleh orang-orang Melayu yang mata pencariannya menangkap ikan. Kampung-kampung lama di Paka ialah Kuala Paka, Tebing Tembah, Pinang Merah dan Kampung Nyiur. Setelah itu muncul pula petempatan yang lebih baru kerana penduduk mencari kawasan tambahan terutama untuk disesuaikan dengan pilihan kerja seharian iaitu pertanian - Kg. Santong dan Kg. Durian Mentangau (dulu dikenali sebagai 'Kawasan').

Mengikut sumber penempatan kaum Cina di Kuala Paka bermula dengan peniaga-peniaga dari China (Hokkien). Mereka mendiami kawasan kuala dan berniaga di situ generasi demi generasi. Generasi lama Melayu memberitahu mereka bersifat lembut, peramah dan ber'asimilisasi' dengan baik dengan masyarakat Melayu. Mereka tahu selok-belok adat istiadat Melayu, pandai bercakap loghat tempatan (kalau tutup muka kita tak tahu Cina atau Melayu), tahu dan gemar membaca surat khabar jawi malah ada yang 'bersunat'. Cuma yang tidak ditinggalkan ialah cara berpakaian.

" Catatan yang paling sempurna telah ditulis oleh Wang Tayuan dalam dua naskah bukunya bernama "Dau Yi Zhi Lue" (Catatan Tentang Pulau-Pulau Lama) dan "Dau Yi Zhi"  (Catatan Tambahan Tentang Pulau-Pulau Luar). Pada ketika itu, Wang Tayuan adalah seorang pemuda yang minat mengembara. Beliau telah dua kali pergi keluar Negara selama 18 tahun, dan dia mencatat banyak perkara yang dilihat sepanjang perjalanannya. Negara-negara yang dilawati ialah Semenanjung Melayu, Filipina, Borneo, Jawa, Sumatera, India, Parsi, Laut Merah dan Afrika Timur. Negara-negara yang dia jelajahi pada masa itu adalah lebih daripada 220 buah negara. Antaranya Wu-Zi-Ba (Melaka), Tamalin (Tembeling), Peng-Heng (Pahang), Ci-Lan-Tan (Kelantan), Ting-Jia-Lu (Terengganu), Fo-Lo-Ann (Kuala Berang), Pai-Jia (Paka) dan lain-lain." SUMBER

"Orang Hailam Cina yang berhijrah ke sini semenjak 180 tahun dahulu dan bertempat di Dungun, Paka, Kerteh, Kemasik, Kemaman, Jabor, Marang, Batu Rakit, Merang, Setiu, Kuala Besut dan Jerteh begitu juga dengan Cina Hokkien, Kanton, Hakka, Tie Chius yang lebih awal menerokai tanah berhampiran kawasan sungai untuk menanam pokok getah di seluruh Negeri dari Utara hingga Selatan sepanjang 240 kilometer.
Dari segi perlombongan, semenjak awal abad ke - 19, Kaum Cina mengambil bahagian sebagai pemborong kepada pengusaha Inggeris. Ramai pekerja Cina yang mahir dalam perlombongan dan membuka lombong Bijih Timah di Kampung Kongsi di Ulu Paka, Bukit Bandi, Pasir Semut, Kampung Dadong, Kampung Sungai Kuah di Kawasan Hulu Sungai Kemaman."
 SUMBER

Di Kg. Tebing Tembah pula terkenal dengan orang-orang 'Rengit', iaitu orang-orang Melayu yang mendiami kampung lama Tebing Tembah berhadapan dengan pekan Kuala Paka. Nama Rengit mungkin diambil daripada perbukitan berdekatan dimana sebahagian mereka bercucuk tanam.


PEKERJAAN

Dari segi kegiatan ekonomi (pekerjaan penduduk) pekerjaan utama peringkat awal adalah nelayan dan petani. Pertanian utama yang dijalankan ketika itu ialah getah dan padi (padi huma). Di kawasan yang agak rendah bermula dari Tebing Tembah hingga ke Durian Mentangau terdapat banyak padi huma ditanam dan boleh dilihat sepanjang jalan raya. Demikian juga Santong mempunyai kawasan tanaman padi yang luas.

Bermula dari sekitar Tunas Manja sekarang hingga ke penghujung kawasan loji minyak dekat Kerteh pula terdapat ladang kelapa yang dikatakan terbesar ketika itu, kepunyaan orang Inggeris. Sebab itulah kalau kita perhatikan sepanjang perjalanan tu ada saki baki pokok kelapa. Nama ladangnya ialah Ladang Nyior Matel. Ejaan sebenar 'Matel" saya tak pasti kerana hanya cerita mulut orang tua.

Sekitar tahun-tahun 1960 variasi pekerjaan penduduk bertambah dengan pembukaan kilang-kilang papan di Tebing Tembah dan di Kg. Cacar (di seberang masjid Hadhari sekarang). Di tapak janakuasa elektrik TNB dibina sebuah kilang memproses kayu mega dengan kerjasama syarikat Australia dan kerajaan (tak pasti negeri atau persekutuan) dengan nama Austasia Timber. Kilang ini memproses kayu untuk dieksport ke negara-negara sejuk terutama Australia. Kayu-kayu dari kilang-kilang kayu dibawa ke sini untuk dikukus (kiln) dan dikumal (mould). Selain itu lebih awal ramai penduduk Paka berkerja di lombong bijih besi di Bukit Besi.



Sekian untuk kali ini, akan bersambung - 
Ps - Sekadar berkongsi pengalaman. Kalau ada komen, pembetulan atau tambahan rujukan daripada generasi lama sila komen di bawah untuk perkongsian kita bersama. Penulis juga amat berharap kepada sesiapa yang masih menyimpan gambar-gambar lama sekitar Paka untuk dikongsikan demi memperbanyakkan khazanah sejarah Paka kita.


Rujukan
  • Allahyarham Ayah Ngah Dayang
  • Ayah Su Jusoh (Pinang Merah)
  • Allahyarham Ayah Ngah Limbong


Artikel Terkait

Previous
Next Post »

6 ulasan

Write ulasan
Unknown
AUTHOR
18 Jun 2016 pada 3:51 PTG delete

Kampungku tebing tembah torbaikkkk.....

Reply
avatar
Unknown
AUTHOR
12 Mac 2019 pada 8:48 PTG delete

Tempat kelahiran saya Di paka

Saya sangat syg paka

Reply
avatar
Unknown
AUTHOR
12 Mac 2019 pada 8:52 PTG delete

Tempat kelahiran saya Di paka

Reply
avatar